Saturday, November 15, 2014

TD43 : Diet untuk Diabetes / Kencing Manis

14 NOVEMBER merupakan HARI DIABETES SEDUNIA.

LARIAN DIABETES
Jalanilah kehidupan anda secara aktif dan sihat

Disebabkan itu, admin nak tekankan sedikit berkenaan dengan penyakit Diabetes atau dipanggil Kencing Manis. Pertama sekali sebelum admin sentuh berkenaan dengan pengurusan diet, kita kena tahu apa itu diabetes, faktor risikonya dan juga komplikasi atau kesan terhadap diri kita sekiranya kita menghidap penyakit diabetes.

DIABETES
Satu jenis penyakit dimana paras gula dalam darah (glukosa) melebihi nilai normal.

Paras Gula dalam darah yang NORMAL :
Puasa : 4.0 - 6.0 mmol/L
Tidak Puasa : 4.4 - 8.0 mmol/L

Di dalam tubuh badan kita, terdapat hormon insulin yang dihasilkan dari organ pankreas dimana hormon insulin ini berfungsi untuk menukar gula kepada tenaga. Terdapat 2 jenis penyakit diabetes dimana penghidap Diabetes Jenis 1 mengalami kegagalan dalam menghasilkan hormon insulin manakala Diabetes Jenis 2 mengalami kegagalan hormon insulin untuk bertindak atau tidak berkesan menukarkan gula kepada tenaga.

FAKTOR RISIKO
- Kegemukan (Obesiti)
- Keturunan
- Pemakanan yang tidak seimbang
- Gaya hidup tidak aktif
- Merokok

KESAN / KOMPLIKASI
- Sakit Jantung
- Retinopati (buta)
- Nefropati (kerosakan buah pinggang)
- Neuropati (kerosakan saraf)
- Koma

PENGURUSAN DIET
Jadi, bagi mengelakkan penyakit diabetes anda melarat, anda disarankan untuk mengikut panduan dalam pengurusan diet seperti berikut :

1. Jaga waktu makan 
- Pastikan anda makan mengikut waktu yang betul dengan kuantiti yang sederhana kerana pemakanan yang teratur dapat mengawal paras gula dalam darah.
- Waktu makan utama yang tidak boleh dilangkau adalah sarapan, makan tengahari dan makan malam.

2. Makan sedikit tapi kerap
- Amalkan makan dalam kuantiti yang sedikit, tapi kerap.
- Sebagai contoh, 3 kali hidangan utama, dan 2-3 kali hidangan ringan (minum pagi, minum petang, minum malam)

3. Pemilihan jenis makanan
- Pilih makanan yang tinggi serat, lebihkan sayur-sayuran.
- Elakkan makan makanan yang manis / tinggi gula seperti jem, kaya, donat, aiskrim, teh tarik, kuih manis, susu pekat, air manis dll.

4. Kira karbohidrat anda
- Semua makanan berkarbohidrat perlu diambil secara sederhana
- Contoh untuk 1 hidangan (sekali makan dalam 1 waktu makan) :
** Dalam 1 waktu makan hanya perlu ada 1 jenis makanan sahaja, sila pilih hanya 1, ok**

  • GANDUM : Nasi / Bihun / Oat (1 cawan), Bubur nasi (1 setengah cawan), Roti (1 keping), Biskut (6 keping), Tepung (6 sudu besar)
  • SAYUR KANJI : Jagung tangkai (1 biji). Kentang / Sukun / Ubi kayu / Keladi / Labu / Keledek (1 cawan)
** Untuk kenali lebih berkenaan dengan sayur berkanji, boleh rujuk TD28 **
  • BUAH : Epal / Oren / Belimbing / Kiwi / Ciku (1 biji), Pisang (1 sederhana), Cempedak / Nangka (4 ulas), Jambu batu / Mangga (1/2 biji), Rambutan / Laici (5 biji), Anggur / Duku / Langsat / Longan (8 biji), Manggis / Kedondong (2 biji kecil), Durian (2 ulas) 
** Untuk buah, anda boleh rujuk TD30 bagi kandungan gula dan buah **
  • SUSU : Susu skim / penuh krim (4 sudu makan), Susu sejat (1/2 cawan), Yogurt rendah lemak (1 cawan)
MITOS DIABETES :
Jangan makan NASI, Jangan makan PISANG

PENJELASAN :
- Nasi dan pisang boleh makan bagi penghidap diabetes,
tetapi pastikan makan dalam kuantiti yang sedikit dan teratur.
- Jangan makan dalam kuantiti yang lambak dalam 1 masa makan.
- Elakkan makan pisang yang terlebih masak.
- Makan pisang saiz sederhana ketika anda penat dan lesu selepas bersenam.

Selain diet, anda juga perlu menjalankan aktiviti yang lebih aktif (boleh rujuk TD40), dan antara senaman paling mudah dan ringkas ialah berjalan laju, naik tangga, berbasikal dan aerobik. Anda juga haruslah berhenti merokok, jika anda merokok.

"kawal makan, kawal gula, hidup sihat"

No comments:

Post a Comment